Boleh dikatakan majoriti golongan muda di Malaysia mempunyai tahap pengurusan dan perancangan kewangan yang lemah. Buktinya, Bank Dunia melalui kajian Pantauan Ekonomi Malaysia pada tahun Disember 2019 telah mendedahkan sekitar 60% daripada kumpulan individu muflis di Malaysia adalah terdiri daripada golongan belia yang berumur di antara 25 tahun sehingga 44 tahun.
Muflis boleh diisytiharkan bila anda tidak boleh membayar hutang lebih RM50,000 selama 6 bulan berturut-turut. Sebaik sahaja anda diisytiharkan muflis oleh mahkamah, anda akan hilang beberapa kelebihan, seperti dihalang keluar dari Malaysia. Manakala, jika anda berkerja di bawah bidang professional (seperti bidang perakaunan, undang-undang dan perubatan) anda tidak boleh teruskan kerjaya anda, dan akaun anda juga akan dibekukan.
Berikut merupakan 5 dosa kewangan yang sering dilakukan oleh anak muda masa kini.
1. Tidak Mempunyai Simpanan Kecemasan

Kajian daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati seramai 75% rakyat Malaysia gagal mempunyai simpanan walaupun hanya sebanyak RM 1,000. Sedangkan ‘rules of thumb’ dalam pengurusan kewangan menyarankan setiap individu yang bekerja untuk mempunyai sekurang-kurangnya 3 bulan daripada gaji bulanan sebagai simpanan kecemasan.
Sebagai contoh, sekiranya gaji bulanan seseorang individu tersebut adalah sebanyak RM 3,000 sebulan, maka jumlah simpanan kecemasan yang perlu disimpanan sekurang-kurangnya adalah sebanyak RM9,000.
Jika terasa sukar untuk mengumpulkan dana kecemasan mengikut kaedah pertama, anda boleh cuba memperuntukkan 10% daripada pendapatan untuk dijadikan dana kecemasan setiap bulan. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, mungkin nikmat kesihatan ditarik atau mungkin dibuang kerja.
2. Beli Kenderaan “Mewah” Secara Hutang

Antara kesilapan golongan fresh graduate yang baru memasuki alam pekerjaan adalah mereka terlalu gopoh untuk beli kereta baru. Beli kereta tak salah. Yang salah adalah apabila seseorang itu memilih untuk membeli kereta yang melebihi kemampuan gaji bulanan. Ramai yang sanggup terikat dengan pinjaman yang tinggi dengan pihak bank selama 9 tahun semata-mata untuk nampak bergaya di atas jalan raya dengan kereta berjenama.
Kebelakangan ini, banyak agensi kereta memperkenalkan skim pinjaman kereta tanpa deposit untuk menarik lebih ramai pembeli kerana tidak perlu menyediakan simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada harga kenderaan berkenaan. Ini akan menyebabkan mereka terikat dengan komitmen bulanan yang tinggi. Itu belum kira kos petrol, maintenance, kos accident dan kos saman speed trap.
Tanpa sedar, hutang kereta juga adalah merupakan punca kebanyakan orang muda menjadi muflis.
3. Salah Guna Kad Kredit

Tidak dinafikan kini membuat pembayaran menggunakan kad kredit lebih baik berbanding menggunakan tunai. Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal juga telah menyebabkan ramai golongan muda yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan ini diisytiharkan bankrap. Mereka lebih memilih untuk berbelanja melebihi apa yang mereka mampu asalkan kelihatan bergaya.
Kesilapan besar penggunaan kad kredit juga terjadi apabila anda tidak membayar baki kad kredit pada tempoh yang telah ditetapkan. Pengeluar kad kredit boleh mengenakan kadar faedah yang paling tinggi iaitu 18%. Lebih memburukkan keadaan, ramai yang akhirnya terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi membayar balik hutang kad kredit dan kini menanggung komitmen kredit yang tinggi.
4. Tidak Mempunyai Perlindungan Takaful

Perlindungan Takaful dapat mengurangkan beban kewangan sekiranya berdepan musibah seperti kemalangan, banjir, kebakaran, penyakit kritikal dan kematian. Caruman Takaful tidaklah banyak. Kebiasaannya kurang dari 10% dari jumlah pendapatan dan yang penting boleh upgrade di masa hadapan.
Namun, masih ramai yang berasakan perlindungan sebagai sesuatu pilihan dan tidak penting. Lebih baik mempunyai perlindungan takaful yang sedikit daripada tidak mepunyai apa-apa. Setidak-tidaknya tak perlulah anda guna kad kredit bila masuk hospital, lepas tu tak mampu nak bayar dan berisiko untuk bankrup.
Sekiranya tiada skim perlindungan Takaful, anda mungkin berdepan dengan tidak mempunyai simpanan kecemasan dan hanya berharap kepada duit simpanan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
5. Hanya Menyimpan Semata-mata Tanpa Melabur

Akaun simpanan di bank pada masa kini biasanya memberi hasil pulangan kurang dari 2%. Jika dibandingkan dengan purata kadar inflasi negara untuk 10 tahun yang bernilai antara 2.5%- 4%, nilai wang anda telah merosot jika hanya bergantung kepada hasil tabungan sahaja.
Menabung melalui Tabung Haji menjadi kebiasaan untuk golongan beragama Islam. Akan tetapi, pulangan yang pada suatu ketika membayar dividen tinggi sehingga mencecah 9.5% sudah berkurangan sehingga kadar 3.10% di tahun 2020.
Tidak ada satu strategi pelaburan yang akan menjamin kejayaan. Namun, sekurang-kurangnya kemungkinan mencapai matlamat anda untuk mengatasi nilai inflasi wang adalah lebih baik berbanding dengan menabung semata-mata.
Kini terdapat pelbagai jenis skim pelaburan dan cara untuk membuat pelaburan yang menguntungkan. Dengan informasi dan pengetahuan yang betul, anda boleh memanfaatkan peluang pelaburan untuk mengubah kedudukan kewangan dan gaya hidup anda.
Sumber: https://www.shariahscreener.com/articles/Ketahui-5-Dosa-Kewangan-Anak-Muda-Masa-Kini