You are currently viewing Ketahui Sejarah Khidmat Akaun Simpanan dan Perbankan Zaman Rasulullah S.A.W

Ketahui Sejarah Khidmat Akaun Simpanan dan Perbankan Zaman Rasulullah S.A.W

Ramai antara kita rata-rata mempunyai akaun simpanan sebagai salah satu cara untuk menyimpan wang. Dengan adanya akaun simpanan ini, kita dapat mengurus wang dengan bijak dan dapat mengesan semua jenis transaksi dan faedah yang terkumpul pada akaun simpanan ini melalui penyata bulanan. Jika kita dapat lihat hampir kesemua bank di Malaysia tidak kira sama ada perbankan Islam mahupun bank konvensional ada menawarkan kemudahan akaun simpanan ini sebagai salah satu produk asas mereka. 

Tapi tahukan anda konsep akaun simpanan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi? 

Jom teruskan membaca untuk ketahui dengan lebih lanjut!

Diriwayatkan oleh Ibn Sa’ad, bahawa al-Zubayyr al-‘Awwam yang merupakan sepupu kepada Rasulullah S.A.W dan antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga sering didatangi oleh ramai orang awam yang memintanya untuk menyimpankan wang mereka. Sehinggakan Zubayr sendiri terpaksa menolak kerana berasa terbeban untuk menjaga wang tersebut sedangkan beliau sendiri tidak boleh menggunakannya. 

Oleh kerana itu, Zubayr telah meminta kepada mereka yang datang kepadanya untuk menyimpan wang tersebut atas dasar pinjaman kepada dirinya dan bukan lagi sebagai wa’diah (simpanan) semata-mata. Ini membolehkan Zubayr memiliki hak untuk memanfaatkannya. 

Hasil tindakan Zubayr ini menyebabkan semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah wang yang berada dalam dipegangnya mencecah 2 200 000 dirham. Ia merupakan satu jumlah yang amat besar pada zaman tersebut. 

Sehingga ada yang menggelarnya sebagai Bank Zubayr yang mungkin boleh dianggap sebagai bank Islam yang pertama.

Melalui tindakan Zubayr itu, beliau telah menukarkan konsep asas wadi’ah yang pada asalnya hanya menjaga amanah untuk menyimpan tanpa boleh digunakan, kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkan wang tersebut dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut. Dengan hasil keuntungan yang diperoleh Zubayr daripada pinjaman wang yang dilaburkan tersebut, beliau banyak menggunakannya untuk membeli aset.

Diceritakan oleh al-Zahabi, ketika Zubayr meninggal dunia akibat dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham pun, kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu juga, beliau meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2 200 000 dirham iaitu hasil nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman tersebut. 

Ketika kematian Zubayr, anaknya mengisytiharkan sesiapa yang memberi pinjaman kepada bapanya agar datang kepadanya untuk diselesaikan dengan mencairkan aset-aset yang dimiliki oleh Zubayr.

Ini jelas membuktikan terdapat individu-individu yang telah pun mengamalkan fungsi sistem perbankan di zaman Rasulullah S.A.W, walaupun ianya tidak dilakukan secara menyeluruh. 

Namun, kita dapat saksikan antara fungsi utama perbankan moden pada masa kini iaitu dengan menerima wang deposit (simpanan) daripada pelanggan mereka menunjukkan aktiviti perbankan ini tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan umat Islam. 

Sumber: https://shariahscreener.com/articles/Ketahui-Sejarah-Khidmat-Akaun-Simpanan-dan-Perbankan-Zaman-Rasulullah

Leave a Reply