You are currently viewing Konsep Perbelanjaan Menurut Islam

Konsep Perbelanjaan Menurut Islam

Kekayaan atau harta seringkali dikaitkan dengan kemampuan untuk memenuhi keperluan dan kemahuan oleh seseorang individu. Dengan sesebuah kekayaan itu sendiri, pemiliknya dapat membelanjakan apa sahaja yang dia diingini mengikut kemampuannya. Ini jelas menunjukkan bahawa sesebuah harta atau kekayaan itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang erti kecuali ianya digunakan dan dibelanjakan untuk memenuhi keperluan dalam memenuhi keselesaan seseorang tersebut termasuklah untuk keluarga dan masyarakat sekitar secara amnya. 

Namun begitu, konsep perbelanjaan dan penggunaan harta kekayaan dalam Islam bukan sahaja merangkumi keperluan di dunia malah ianya menjangkaui hingga ke keperluan akhirat kerana setiap harta yang dimiliki akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan dari mana ia diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan. 

Jadi, bagaimana seharusnya seseorang itu membelanjakan harta dan kekayaannya dan tujuan yang bagaimana setiap perbelanjaan tersebut akan dipersoalkan di akhirat kelak?

image

Dalam Al-Quran itu sendiri telah dijelaskan bahawa setiap perbelanjaan dalam Islam seharusnya berlandaskan di jalan Allah. Ini kerana antara nikmat yang boleh melalaikan itu sebenarnya adalah nikmat harta.

Dengan menggunakan kekayaan hanya untuk menikmati kemewahan semata-mata melebihi keperluan seseorang tersebut tentunya bertentangan dengan ciri tahsiniyyat seperti yang dinyatakan dalam Maqasid al-Shariah. Oleh itu Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berbelanja dan menggunakan harta dengan secara hemah dan betul untuk mengelakkan sebarang bentuk pembaziran dan ‘berlebih-lebihan’ sebagaimana yang diajarkan dalam Al-Quran. 

Seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: 

Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.”

Oleh itu, untuk memelihara diri kita untuk memastikan bahawa setiap harta yang dimiliki hendaklah mempunyai perancangan yang baik seperti mengutamakan keperluan yang benar-benar utama, mengamalkan tabiat untuk menyimpan wang walaupun sedikit, tidak mengamalkan dan terikut-ikut dengan gaya hidup mewah semata-mata untuk mengikut ‘trend’ dan gaya terkini. 

Sesungguhnya agama sangat melarang untuk membelanjakan harta untuk bermegah-megah dan membazir kerana ianya merupakan tabiat buruk manusia yang seringkali berlaku dalam masyarakat apabila mereka dikurniakan nikmat harta yang melimpah ruah. Sesungguhnya syaitan amat suka kepada orang yang membazir dan berberlanja secara boros mengikut hawa nafsu seperti yang telah dinyatakan dalam Surah Al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir membelanjakan harta kepada pada jalan yang menyalahi syarak itu ialah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya”.

Sponsored Content

Dapatkan kursus Fiqh Muamalat dan Isu Semasa di pautan https://mycourse.my/courses/fiqh-muamalat-dan-isu-semasa-kewangan/

Konsep perbelanjaan ini juga ada dinyatakan dalam surah Al-Talaq (65:7)

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Oleh itu, umat Islam seharusnya menyedari bahawa kekayaan adalah sebuah kurniaan dan anugerah Allah. Maka ianya juga wajib diperoleh dan dibelanjakan dengan betul untuk memperoleh keredhaan-Nya dan mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat (al-Falah) seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran (Al-Baqarah 2:261) :

Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui.” 

Sumber: https://www.shariahscreener.com/articles/Konsep-Perbelanjaan-Menurut-Islam?fbclid=IwAR26Pn41rTYqcjmpHhNhj00vgFALcSmV7Ua6vrEEKkqYzfJ1KXY82A7JqAk

Leave a Reply