Para pelabur pastinya sering mendengar terma pasaran bullish dan bearish. Secara asasnya, kedua-dua terma ini digunakan sebagai metafora untuk menggambarkan keadaan semasa pasaran sama ada pasaran berada dalam keadaan menaik mahupun menurun.
Pasaran bullish merujuk kepada keadaan pasaran yang mengalami kenaikan manakala pasaran bearish pula merujuk kepada gambaran pasaran yang sedang mengalami kejatuhan. Tapi apakah simbolik pasaran bullish dan bearish yang dinisbahkan kepada karikatur haiwan?
Simbolik kedua-dua haiwan berkenaan adalah merujuk kepada cara kedua-dua haiwan berkenaan menyerang musuh. Bullish yang berasal daripada perkataan bull, bermaksud seladang atau lembu. Kebiasaannya lembu akan menyerang dengan membuat aksi tandukan daripada bawah ke atas. Keadaan ini sinonim dengan pasaran yang sedang berada di bawah sedang melonjak naik ke atas. Sebaliknya, bearish pula yang berasal daripada perkataan bear membawa maksud beruang. Seekor beruang kebiasaanya akan menyerang musuhnya dengan meleretkan cakarnya dari atas ke bawah. Ini menggambarkan pasaran saham sedang mengalami kejatuhan.
Tapi tahukah anda bahawa ada satu lagi haiwan yang disifatkan dengan pasaran iaitu kangaroo. Pasaran kangaroo menggambarkan keadaan pasaran berada pada paras terlalu volatile sehingga berlaku kenaikan dan penurunan dengan sangat cepat sama seperti sifat lompatan kangaroo.

Faktor Yang Mendorong Kepada Pasaran Bullish dan Bearish
Pasaran Bullish dan Bearish selalunya bertepatan dengan fasa-fasa ekonomi yang berlaku. Kebiasannya pasaran akan berada dalam keadaan bullish apabila ekonomi dunia berada dalam keadaan baik. Para pelabur akan melihat indeks pasaran akan meningkat, volume pasaran yang tinggi, kadar pengangguran berkurangan, kadar pertumbuhan negara meningkat dan beberapa indikator yang lain. Pada masa ini juga, pasaran emas dan pasaran sukuk akan melemah.
Namun, sebaliknya apabila pasaran bertukar kepada bearish, kita akan mula melihat sentimen pasaran makin melemah. Media-media akan mula melaporkan kegawatan ekonomi dunia, ramai yang kehilangan pekerjaan, rakyat yang hidup susah, pasaran saham tidak serancak sewaktu bullish, volume pasaran berkurangan dan sebagainya. Pada masa ini, pelabur akan mula mengintai peluang lain dalam pelaburan yang kalis ekonomi seperti emas. Begitulah lumrah pasaran yang diibaratkan seperti kitaran roda.
Sponsored Content
Apa Pelabur Perlu Buat Semasa Pasaran Bullish dan Bearish
Ketika pasaran sedang berada dalam keadaan bullish, ini adalah kesempatan terbaik untuk para pelabur mengambil peluang atas kenaikan harga saham dan mencari entry point yang terbaik di permulaan uptrend. Kebanyakan saham-saham akan meningkat sehingga mampu mencecah beribu peratus keuntungan. Pada masa ini, pelabur perlu mengenalpasti sektor-sektor yang berpotensi melakukan kenaikan sesuai dengan pasaran Malaysia yang bersifat satu hala sahaja.
Ketika pasaran bertukar kepada bearish, tekanan jualan menjadi semakin tinggi dan harga saham akan semakin jatuh. Para pelabur perlu bertindak secara berhati-hati dan pelabur runcit juga tidak dibenarkan untuk melakukan short-selling saham-saham di Bursa Malaysia. Jadi para pelabur hanya perlu duduk tepi dan tengok sahaja saham-saham yang berpotensi untuk dijadikan watchlists. Namun begitu, ada juga sektor-sektor yang berpotensi sewaktu pasaran bearish seperti barangan konsumer, makanan dan minuman, utiliti, tenaga dan sebagainya. Dan setiap kali berlakunya pasaran bearish, biasanya ia tidak akan kekal lama. Ekonomi akan kembali pulih dan pasaran saham naik semula. Sama seperti apa yang berlaku sewaktu krisis pandemik Covid-19. Apabila vaksin Covid-19 mula diedarkan ke seluruh dunia, sempadan negara mula dibuka, orang ramai boleh keluar rumah seperti biasa, maka berlakulah kemunculan pasaran bullish semula.
Tuntasnya, kitaran pasaran selalu berubah daripada bullish kepada bearish dan begitulah sebaliknya. Walau apa jua situasi pasaran sekalipun, para pelabur perlu melakukan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum melakukan apa jua keputusan pelaburan. Pastikan anda mempunyai maklumat yang mencukupi dalam membantu anda menganalisis sesuatu saham tidak kira pasaran tersebut sedang bullish, bearish mahupun kangaroo.
Sponsored Content