You are currently viewing Ekonomi Umat Islam Malaysia : Peranan Digital Ekonomi dan Literasi Kewangan

Ekonomi Umat Islam Malaysia : Peranan Digital Ekonomi dan Literasi Kewangan

Dunia moden pada hari ini telah membuktikan bahawa ukuran kekuatan sesebuah negara itu bukan lagi dilihat hanya pada kehebatan dan kecanggihan kententeraan mahupun senjata, malah ekonomi juga merupakan antara elemen penting yang telah dijadikan sebagai sebuah kayu ukur menentukan kekuatan dan kelemahan sesebuah negara. Di peringkat nasional pula, memiliki ekonomi yang stabil ini juga turut merangkumi kemampuan negara dalam menyediakan peluang ekonomi yang baik kepada rakyatnya, mempunyai ekonomi yang mandiri, memiliki sistem ketahanan dan ketenteraan yang kuat serta dihormati oleh negara-negara luar.

Jika kita dapat hayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Thabrani, di mana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada akhir zaman kelak, manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”  Dalam erti kata lain, menegakkan urusan agama dan dunia daripada hadis ini turut membawa maksud kepada memiliki ketahanan ekonomi yang kukuh. Ini membuktikan bahawa masyarakat Islam pada zaman ini memerlukan sebuah kemantapan ekonomi dalam meneruskan kehidupan dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam yang baik. Namun begitu, secara realitinya keadaan negara-negara Islam di peringkat global pada ketika ini masih lagi belum mencapai kepada tahap kejayaan sebagai kuasa besar terutamanya dalam aspek ekonomi. 

Dalam konteks di negara Malaysia sendiri, apabila kita melihat kepada realiti semasa, kita dapati bahawa keupayaan dan kemampuan masyarakat Islam terutamanya dari sudut penguasaan ekonomi negara secara keseluruhannya pada hari ini boleh dikatakan masih belum cukup memberangsangkan jika dibandingkan dengan masyarakat bukan Islam meskipun penduduk Islam di negara ini adalah merupakan penduduk majoriti. Ini dapat dibuktikan menerusi data-data yang diperoleh sama ada berdasarkan data kadar kemiskinan, jurang pendapatan antara kaum, kadar pemilikan hartanah dan juga kadar pemilikan ekuiti dalam negara. Sebagai contoh, statistik peratusan kemiskinan tegar kaum Bumiputera masih lagi mencatatkan kadar kemiskinan yang teratas dalam kalangan miskin bandar dan luar bandar jika dibandingkan dengan kelompok lain iaitu sebanyak 7.2 peratus, lebih daripada lima kali ganda jika dibandingkan dengan kaum Cina[1]. Manakala dapatan daripada maklumat berkenaan negeri-negeri termiskin di negara ini pula adalah terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Sabah[2], dimana kesemua negeri ini adalah merupakan negeri yang dikuasai oleh penduduk Bumiputera sebagai majoriti.

Dari sudut pemilikan ekuiti pula, peratusan yang dimiliki oleh kaum Bumiputera mencatatkan antara nilai yang terendah dalam sejarah negara iaitu sebanyak 17.2 peratus pada tahun 2021[3] berbanding 23 peratus pada tahun 2011 dan 19.3 peratus pada tahun 1990. Lebih membimbangkan, angka peratusan ekuiti yang dimiliki oleh masyarakat Bumiputera ini dijangkakan akan terus menurun jika tiada langkah dan pendekatan yang drastik diambil oleh pihak berwajib. Kesemua maklumat daripada data ini boleh disimpulkan bahawa penguasaan ekonomi negara ini tidak menunjukkan tanda-tanda ianya diungguli oleh kaum bumiputera yang juga majoritinya beragama Islam. Terbaharu, dapatan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula mencatatkan bahawa nisbah pencarum yang diwakili oleh masyarakat Melayu khususnya menunjukkan 74 peratus[4] daripada jumlah keseluruhan 5.9 juta pencarum mempunyai baki simpanan persaraan kurang daripada RM 10,000 sahaja. Keadaan ini juga amat membimbangkan sekiranya tiada inisiatif atau usaha yang strategik yang dirancang untuk membangunkan semula ekonomi masyarakat Islam di Malaysia. 

Ini jelas menunjukkan bahawa memiliki harta dan ekonomi yang kukuh meskipun di peringkat individu sebenarnya adalah amat penting dan dapat dilihat sebagai usaha untuk menegakkan urusan agama dan dunia seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas. Ini kerana, ia membolehkan lebih ramai lagi umat Islam untuk menguasai pelbagai bidang ilmu dan akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi dalam masyarakat seperti menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, menyebarkan dakwah dan ilmu pengetahuan kepada orang lain. Dengan melahirkan lebih ramai umat Islam yang kaya dan berharta juga dapat mencontohi para Sahabat Rasulullah yang hartawan kerana dapat membantu ummah dari segi kewangan dengan melakukan amalan seperti bersedekah, menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat, berwakaf, infak, hibah dan sebagainya yang akhirnya akan menguatkan lagi ekonomi dalam sesebuah masyarakat Islam itu sendiri. Oleh kerana itu, langkah dan usaha dalam memperkasakan ekonomi masyarakat Islam di negara ini perlu diberi perhatian secara khusus dan terperinci dalam memastikan agenda pembangunan dan kemaslahatan umat dapat dicapai. 

Mempertingkatkan lagi kemahiran pengurusan dan literasi kewangan dalam kalangan Muslim itu sendiri.

Perlu diketahui, antara elemen penting yang dapat menyumbang kepada usaha pembangunan ekonomi sesebuah masyarakat ialah dalam penguasaan kemahiran pengurusan dan literasi kewangan. Ianya merupakan satu bentuk kemahiran asas yang amat diperlukan dalam usaha kearah memperkasakan pembangunan ummah yang lebih kukuh. 

image

Jika dilihat senario yang sering berlaku dalam masyarakat kita termasuk juga bagi mereka yang bergelar usahawan Islam secara realitinya, kebanyakkannya masih lagi gagal untuk bersaing dengan usahawan bukan Islam. Ianya disebabkan oleh beberapa faktor yang cukup jelas contohnya seperti; kegagalan dalam membayar pinjaman bank sehingga menyebabkan peningkatan tunggakan hutang kepada institusi kewangan yang terlibat, gagal dalam membuat pembayaran pinjaman pendidikan seperti PTPTN, MARA dan lain-lain lagi, melakukan perbelanjaan peribadi secara tidak dirancang, penggunaan kad kredit yang tanpa kawalan yang sepatutnya sehingga menyebabkan ramai antara mereka yang jatuh muflis hari ini majoritinya adalah terdiri daripada kalangan masyarakat Bumiputera. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Resolvensi Malaysia dari tahun 2015 sehingga ke 2019 menunjukkan 56 peratus individu yang diisytiharkan sebagai muflis ini adalah terdiri daripada kaum Bumiputera[5].

Ini juga disokong oleh dapatan kajian yang telah dijalankan oleh beberapa institusi kewangan negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), AKPK, Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan OECD International Network on Financial Education yang menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia kini masih lagi berada di tahap yang membimbangkan terutamanya dalam kalangan masyarakat Muslim. Isu literasi kewangan ini adalah amat penting dan perlu diberikan perhatian kerana ianya adalah merupakan pengetahuan asas terhadap pengurusan kewangan itu sendiri dan antara salah satu komponen penting dalam sesebuah ekonomi negara. Kepentingan untuk memperkasakan literasi kewangan ini dapat dilihat menerusi kemampuannya dalam mempengaruhi pembangunan ekonomi bagi sesebuah negara menerusi keupayaan masyarakat itu dalam memproses maklumat sebelum membuat sesuatu keputusan kewangan yang betul terutamanya dalam perancangan kewangan mereka. 

Manakala dari sudut pandang Islam sendiri juga mengakui bahawa aspek literasi kewangan ini sebenarnya merupakan satu unsur atau cabang pengetahuan yang boleh membantu masyarakat Islam dalam mencapai matlamat dalam penjagaan harta (hifz al-mal) seperti mana yang telah digariskan dalam maqasid al-shariah. Selain berperanan penting dalam membantu individu untuk membuat keputusan kewangan yang betul dan membolehkan individu tadi mencapai matlamat kesejahteraan sama ada di dunia mahupun secara ukhrawi (al-falah), ia juga dapat merealisasikan pelbagai tuntutan syariah yang lain seperti dakwah, penjagaan kesihatan dan pemeliharaan keturunan, pengembangan celik kewangan, tuntutan ilmu, serta pengembangan ekonomi dan sebagainya. 

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam di negara ini perlu dipersiapkan ke arah usaha memperkasakan pengetahuan diri dan kemahiran serta penyediaan ‘mind set’ yang baru demi mencapai pembangunan ummah yang lebih gemilang. Meskipun telah banyak program dan usaha-usaha yang telah dijalankan untuk mendidik masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan dan ilmu dalam bidang pengurusan dan literasi kewangan ini, sama ada dari pihak kerajaan mahupun institusi-institusi kewangan, namun jelas inisiatif ini masih perlu dipergiatkan lagi untuk memastikan umat Islam di negara ini tidak ketinggalan terutamanya dalam aspek ekonomi.

 Justeru itu, usaha untuk meningkatkan kemahiran pengurusan dan literasi kewangan ini perlu dilihat sebagai aspek yang penting dan perlu diambil kira sebagai pencetus kepada potensi sebagai langkah dalam mempercepatkan proses memperkasakan ekonomi ummah. 

Memperkasa pembangunan Umat Islam melalui ekonomi digital terutama dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Umat Islam juga mesti bijak untuk merebut peluang perniagaan yang ada kerana bangsa yang maju di mata dunia adalah bangsa yang menerapkan semangat keusahawanan dan berdaya saing. Namun, secara tradisinya, masyarakat melayu di Malaysia ini lebih suka memilih untuk ‘makan gaji’, sedangkan bangsa lain seperti masyarakat Cina contohnya rata-rata lebih cenderung memanfaatkan peluang untuk berniaga. Minda yang ‘makan gaji’ memang dirasakan lebih selesa dan terjamin namun sebenarnya ia akan terus menjadikan kita sebagai pengikut dan pekerja dan bukannya ‘leader’ dan pencetus. Tidak dapat dinafikan, tidak semua orang mampu menceburi bidang keusahawanan dek kerana cabaran mental, modal serta pengurusan yang besar. 

image

      Justeru itu, adalah sangat baik jika kita oleh mula berjinak-jinak dan membenihkan kemahiran, modal dan pengalaman melelaui pelbagai platform digital yang wujud ketika ini. Antaranya platform Pendidikan secara atas talian seperti mycourse.my dilihat sangat menarik dengan menyediakan peluang pembelajaran ilmu secara tersusun melalui video dan nota serta sijil diakhirnya. Ilmu dan kemahiran yang boleh dipelajari dengan harga yang murah serta disampaikan oleh tenaga pengajar pakar dalam industri ini sangat membantu meningkat kebolehpasaran pelajar dan calon pekerja menjadi lebih berdaya saing dan mampu bertahan dalam syarikat dan organisasi. 

   Apa yang lebih menarik, ia juga menyedia system MyAffiliate yang membolehkan pengguna dan pelajar mempromosikan mana-mana kursus yang tersenarai dan setiap kali ada pelajar mendaftar, mereka akan memperolehi komisyen tanpa sebarang modal wang tunai. Teknik ini sangat baik untuk membantu jana pendapatan tambahan sebahagian besar umat Islam yang sedang hadapi masalah kewangan serta ketiadaan modal. 

      Selain itu, usahawan juga sering dibebani oleh masalah pengurusan yang tidak cekap. Untuk mendapatkan pekerja cekap memerlukan kos yang tinggi bagi bayaran gaji yang setimpal. Justeru, syarikat mikro dan kecil kerap terperangkap dalam dunia pengruusan organisasi dan syarikat yang tidak efisyen dan dilaksanakan secara manual dan ketiadaan Standard Operating Procedure (SOP). Justeru, penggunaan system digital yang wujud hasil inovasi pelbagai pihak, yang boleh memudahkan urusan dan memperkemaskannya mesti diterokai oleh usahawan Antaranya system perakaunan, system ‘point of sales’ dan yang terkini wujudnya system yang membantu proses kutipan bayaran ansuran bulanan, sama ada untuk sewaan, bayaran ansuran hutang, kutipan yuran dan lain-lain. Sistem yang dinamakan ibayar, ansurlah.com serta bayarfi.com ini dikeluarkan oleh Myclass Technologies Sdn Bhd, sangat mampu untuk membantu kutipan dan rekod , catat dan analisa secara manual. Melalui system ibayar, semua diuruskan secara kemas dalam system, lengkap dengan ‘payment gateway’, penyata akaun dan peringatan bayaran lambat dan lain-lain. Ia sangat menarik dan kos yang mampu milik juga. 

Sponsored Content

image
Upgrade skill dan pengetahuan anda dengan mempelajari kursus-kursus pendek di platform learning online Mycourse.my di link https://mycourse.my/courses/

    Selain perlu menitik beratkan soal haram dan halal yang merangkumi soal kewangan seperti menjauhi riba, larangan dalam menipu timbangan dan mengambil kira soal barangan yang diniagakan perlu mengikut landasan dan syarak seperti yang telah digariskan dalam Al-Quran, usahawan Islam juga perlulah bijak melihat perubahan semasa sebagai satu peluang untuk meningkatkan perniagaan mereka terutama dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi pada masa kini. Dalam pada masa yang sama, mereka juga amat disarankan untuk turut meneroka serta menceburi bidang ekonomi digital sebagai salah satu inisiatif untuk melahirkan lebih ramai usahawan Islam yang berjaya selaras dengan kemajuan teknologi dan era globalisasi yang semakin pantas berkembang. 

    Dengan adanya pendedahan mengenai kepentingan digitalisasi dalam perniagaan terutama dalam kalangan usahawan Bumiputera ini, ianya secara tidak langsung akan membuka lebih banyak peluang untuk meluaskan lagi pasaran jualan dan promosi mengenai sesuatu produk secara mudah dan pantas, serta menjimatkan kos. Pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini juga turut merangkumi analisis data dan pemasaran secara digital, meneroka dan mengenal pasti solusi digital yang dapat membantu dari segi peningkatan jualan serta peningkatan produktiviti perniagaan dan ini sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan akhirnya dapat membantu untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi perniagaan mereka. 

    Meskipun usaha untuk membangunkan ekonomi digital ini diakui masih lagi belum dapat direalisasikan secara sepenuhnya serta berdepan dengan cabaran dan kekangan seperti kos dan harga serta tenaga pakar, namun tidak dinafikan bahawa bidang ini juga telah menyaksikan beberapa golongan usahawan serta firma kecil semakin meningkat maju. Antara kemunculan syarikat teknologi ‘unikorn’ yang terhasil daripada ledakan transformasi digital yang terkenal di Asia Tenggara ini termasuklah syarikat seperti GoJek, Grab, Shopee, Traveloka, dan banyak lagi. 

    Sebagai kesimpulan dari topik ini, adalah tidak dapat dinafikan Umat Islam di negara kita ini sebenarnya mempunyai potensi yang cerah untuk memperkukuhkan lagi usaha dalam memperkasakan ekonomi ummah. Ini jelas dapat dibuktikan apabila Malaysia mempunyai kelebihan yang tersendiri dari segi pencapaian dan penguasaan sistem kewangan Islam yang semakin menunjukkan peningkatan serta sambutan yang menggalakkan dalam masyarakat kita pada hari ini. 

    Dengan segala kelebihan dan keistimewaan ini sepatutnya dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan Bumiputera dan umat Islam secara khususnya untuk mengembleng tenaga dan mengerah segala sumber dan modal insan yang ada untuk memastikan usaha untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di negara ini dapat direalisasikan. Sikap terlalu selesa dan bergantung kepada bantuan atau dana kerajaan hendaklah diubah, apatah lagi sikap mengkhianati dana dan kepercayaan tersebut. Banyak peluang yang pernah diberi oleh kerajaan kepada Bumiputera khususnya sebelum ini telah banyak disia-siakan dan akhirnya direbut oleh bangsa lain yang menggunakannya untuk meningkatkan ekonomi mereka. Janganlah kita terus berbalah dan hanya menumpukan kepada perbezaan serta kemusykilan yang remeh sehingga akhirnya ketinggalan dalam pelbagai aspek lain yang lebih penting untuk difikirkan. Sebaliknya umat Islam sendiri lah yang harus bersatu untuk membela nasib sendiri dengan mengubah sikap agar menjadi lebih terbuka, rajin mencari ilmu, mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mencari peluang untuk lebih maju.

[1] Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas 2019

[2] Data Jabatan Perangkaan 2018

[3] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/869749/parlimen-kaji-penyertaan-bumiputera-dalam-industri-logistik-kargo

[4] https://wacana.my/baki-kwsp-kurang-rm10000-melayu-74-diikuti-bangsa-cina-13/

[5] Jabatan Resolvensi Malaysia 2019

Oleh: Dr Zaharuddin Abd Rahman, Tamadun Islam Jan 2022

Sumber: https://www.shariahscreener.com/articles/Ekonomi-Umat-Islam-Malaysia-Peranan-Digital-Ekonomi-dan-Literasi-Kewangan

Leave a Reply